KOTA BHARU 8 Mac – Pemuda MCA membidas kenyataan Setiausaha DAP, Lim Guan Eng yang menyifatkan kerjasama di antara Pas dan UMNO telah ‘mengisytiharkan peperangan terhadap bukan Melayu’, sebagai satu usaha untuk menegangkan hubungan kaum demi kepentingan politik.

Naib Ketuanya, Chua Hock Kuan berkata, parti politik bebas bergabung dengan mana-mana pihak atas pertimbangan strateginya, dan adalah tidak wajar seseorang yang bergelar menteri mengeluarkan kenyataan yang melulu serta berbau hasutan sedemikian yang mungkin menggugat ketenteraman negara.
Walau bagaimanapun, beliau berkata, MCA sebagai parti yang memperjuangkan kepentingan masyarakat Cina di negara ini, akan sentiasa memerhati perkembangan politik tanahair demi menjaga keharmonian di antara kaum.
“Kerjasama parti politik yang mempunyai dasar perjuangan bersama adalah perkara biasa.
“Dan tidak boleh dikaitkan secara sewenang-wenangnya dengan isu perkauman atau peperangan, kerana ia akan menegangkan hubungan antara kaum, ” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Setiausaha DAP, Lim Guan Eng yang menyifatkan kerjasama di antara Pas dan UMNO telah ‘mengisytiharkan peperangan terhadap bukan Melayu’.
Bagaimanapun kenyataan tersebut ditarik balik diubah beberapa minit kemudian selepas mendapat kecaman daripada warganet.
Hock Kuan yang juga Pengerusi MCA negeri berkata, kenyataan yang dibuat oleh Guan Eng amat berbahaya kerana menghasut rakyat supaya membenci antara satu sama lain.
“Kenyataan begini boleh menimbulkan kemarahan dan kerisauan orang bukan Melayu. Pakatan Pas dan UMNO satu pakatan politik.
“Guan Eng telah menimbulkan kegusaran kepada orang Melayu dan bukan Melayu. Beliau perlu memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia dan meletakkan jawatan daripada kerajaan menjejaskan keharmoian negara dan ini bukan Malaysia Baharu yang kita mahu,” katanya. – UTUSAN ONLINE











