Kerajaan Pulau Pinang gagal tangani isu rumah mampu milik - Utusan Malaysia

Kerajaan Pulau Pinang gagal tangani isu rumah mampu milik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 8 Mac – Isu mengenai beberapa penyewa Program Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis, Georgetown di Pulau Pinang yang diusir oleh kerajaan negeri itu mencerminkan kegagalan kerajaan DAP menyelesaikan masalah pemilikan rumah mampu milik.

Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai melahirkan kebimbangan terhadap sikap kerajaan negeri yang bertindak keras mengusir para penyewa tersebut.

Baginya, apa yang dilakukan terhadap para penyewa itu adalah kejam dan tidak sepatutnya mereka dipindahkan secara paksaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ada dalam kalangan penyewa ini terdiri daripada golongan tua dan wanita yang sepatutnya diberikan pengecualian daripada diusir sebegitu.

“Pakatan Harapan (PH) berkata mereka akan menjaga golongan berpendapatan rendah (B40), tetapi sekarang melayan penyewa terbabit dengan cara mengecewakan.

“Sebelum ini, bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon mahu membina rumah mampu milik di atas sebidang tanah, tetapi bekas Ketua Menteri Pulau Pinang selepas itu, Lim Guan Eng menswastakan tanah itu dan kemudian timbul pula skandal banglo. Tidakkah mereka harus menjelaskannya kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Hoe Chai menegaskan bahawa semasa pentadbiran Gerakan di Pulau Pinang, pihaknya telah membina lebih daripada 60,000 buah rumah berharga murah dan sederhana dengan harga pasaran antara RM50,000 hingga RM70,000 sebuah.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang harus mendengar masalah dan dilema dihadapi oleh para penyewa ini dan mencari kaedah lebih baik untuk membantu mereka menyelesaikan isu dan bukan menggunakan kekerasan.

“Kerajaan negeri perlu mempercepatkan pembinaan lebih banyak rumah mampu milik. Jika tidak, ia tidak akan dapat menyelesaikan masalahnya kerana rakyat tidak mampu membeli rumah mahal,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini