GUA MUSANG 8 Mac – Seorang Penolong Pegawai Ladang Felda maut selepas kereta dipandunya bertembung dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Kilometer 49, Jalan Gua Musang-Kelantan, malam tadi.
Dalam kejadian pukul 7.10 malam, mangsa, Ahmad Noor Farhan Mohd. Noor, 32, yang beralamat di Felda Chiku 1 di sini memandu kereta jenis Honda Civic mengalami kecederaan parah akibat tersepit dan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Klinik Kesihatan Chiku 3.
Manakala, pemandu SUV jenis Toyota Harrier, Arizan Ismail, 50, yang bekerja sebagai guru mengalami kecederaan ringan.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Taufik Maidin berkata, Ahmad Nor Farhan dikatakan dalam perjalanan dari arah Kuala Krai ke Gua Musang.
Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan mangsa dikatakan hilang kawalan kerana gagal memotong kenderaan lain di hadapannya, sebelum bertembung dengan sebuah SUV yang datang dari arah bertentangan.
“Akibat kemalangan itu, mangsa telah tersepit dalam kenderaannya dan dikeluarkan oleh anggota bomba.
“Bagaimanapun mangsa meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Chiku 3. Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambah Mohd. Taufik, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -UTUSAN ONLINE











