KUALA LUMPUR – Kegiatan 17 individu bekerja sebagai penjaga tempat letak kenderaan haram yang mampu menjana pendapatan RM350 sehari dibongkarkan selepas kesemua mereka ditahan di sekitar ibu kota hari ini.
Kesemua 17 lelaki berusia lingkungan 24 hingga 64 tahun itu diberkas dalam Ops Parkir Haram yang dilakukan Unit Risikan Operasi, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur yang diketuai Asisten Superintendan Ahmad Fuad Mahmod.
Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, operasi selama 12 jam yang berakhir pukul 12.30 tengah malam itu dilakukan di sekitar Jalan Chow Kit, Changkat Bukit Bintang, Pudu Sental dan Jalan Tun Razak berhampiran pusat hiburan Zouk.
“Mereka yang ditahan terdiri daripada gelandangan dan orang awam yang menyalahgunakan kawasan awam sebagai tempat meletakkan kereta secara haram.
“Hasil siasatan juga mendapati, mereka (suspek) mampu meraih pendapatan RM350 sehari dengan mengenakan bayaran RM5 hingga RM10 bagi pengujung di kawasan pasaraya dan restoran makanan manakala RM20 di kawasan pusat hiburan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online hari ini.
Menurutnya lagi, hasil ujian air kencing mendapati empat daripada 17 suspek itu positif dadah jenis syabu.
“Kesemua tangkapan dibawa ke balai polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 50 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. – K! ONLINE












