KOTA BHARU 8 Mac – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) merombak struktur Majlis Tindakan Negeri (MTNg) Kelantan dengan tidak lagi membuat lantikan politik untuk menganggotai majlis tersebut bermula tahun ini.
Pengerusinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, majlis tersebut akan hanya dianggotai oleh ketua jabatan Kerajaan Pusat dan negeri.
Beliau berkata, tindakan itu selaras dengan pekeliling Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mahukan pembabitkan jabatan kerajaan negeri dan Pusat bagi memastikan pelaksanaan program dibuat dengan lebih lancar.
“Memang seperti ditegaskan oleh Dr Mahathir dalam Pekeliling Perdana Menteri, kita mengundang ketua jabatan di peringkat negeri dan Persekutuan sebagai anggota tetap MTNg.
“Kita mahu melihat cadangan dan perancangan dapat dilaksanakan di peringkat akar umbi, sekali gus memberi manfaat kepada rakyat keseluruhan. Jadi sememangnya tiada lantikan politik dalam MTNg,” katanya kepada pemberita selepas Solat Jumaat dan Kenduri Rakyat di Masjid Mahmudi Mukim Melor, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, timbalannya, Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin yang juga Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi dan Ketua PKR Cabang Ketereh, Ab. Aziz Ab. Kadir.
Sementara itu, Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi berkata, beliau berpuas hati dengan pembinaan Lebuh Raya Kota Bharu – Kuala Krai.
“Pada pagi tadi saya melakukan lawatan kerja untuk melihat projek lebuh raya Kota Bharu – Kuala Krai bagi fasa 2A dan 2B. Fasa 2A dari Kadok ke Ketereh dijangka siap pada pertengahan tahun ini manakala Fasa 2B dari Ketereh ke Kok Lanas dalam pelaksanaan. Kedua-dua fasa ini berjalan lebih awal daripada jadual.
“Saya berharap pakej 2A dapat disiapkan sekurang-kurangnya untuk digunakan sementara pada Aidilfitri nanti namun saya tidak mahu kontraktor tergesa-gesa sehingga mengetepikan kualiti,” katanya.
Mengulas mengenai pertemuannya dengan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob di sini semalam, beliau berkata, pihaknya menjelaskan panjang lebar mengenai hasrat Kerajaan Pusat untuk memberikan keutamaan kepada negeri ini untuk dibangunkan kerana telah dipinggir sejak sekian lama.
“Jadi saya mohon kerajasama kerajaan negeri supaya mewujudkan semangat federalisme. Kita akan terus memperhalusi semangat ini supaya kerjasama dapat dilaksanakan secara efektif, bukan saja di peringkat Persekutuan dan negeri, tapi yang penting kerjasama di peringkat daerah,” katanya. – UTUSAN ONLINE











