Wanita dipukul tukul pemecah dinding ditawar pekerjaan - Utusan Malaysia

Wanita dipukul tukul pemecah dinding ditawar pekerjaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT BUNTAR – Kejadian seorang wanita yang dipukul bapa kandung menggunakan tukul pemecah dinding dalam kejadian di Parit Sungai Melan, Kuala Kurau di sini Isnin lalu, mendapat perhatian Co-opbank Pertama (CBP) hari ini.

Organisasi itu tampil memberikan sumbangan kewangan kepada mangsa bagi meringankan kos perubatan selain menawarkan pekerjaan kepadanya. 

Pengerusi CBP, Kamari Zaman Juhari berkata, pihaknya percaya mangsa, Nur Amanina Nordin, 24, yang merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Selangor itu mempunyai potensi besar untuk menjadi pekerja cemerlang. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami amat bersimpati dengan apa yang berlaku ke atasnya. Jadi, kami di CBP ini yang mempunyai cawangan di Ipoh, Taiping dan Nibong Tebal, Pulau Pinang ingin menawarkan pekerjaan kepadanya. 

“Ia secara tidak langsung memudahkannya untuk berada dekat dengan keluarga memandangkan ibunya telah meninggal dunia pada tahun 2010 dan dia merupakan anak perempuan tunggal daripada empat beradik,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan serta menyampaikan sumbangan kepada keluarga mangsa di rumahnya di sini hari ini. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif CBP, Mohd. Nor Abd. Razak. 

Difahamkan, Nur Amanina yang merupakan anak ketiga daripada empat beradik itu ketika ini dilaporkan berada dalam keadaan stabil di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan dijangka bakal dipindahkan ke Hospital Parit Buntar pada minggu hadapan. 

Bapanya, Nordin Idak, 58, pula masih ditahan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian.

Sementara itu, abang mangsa, Mohamad Fazwan Nordin, 28, bersyukur dengan pemberian sumbangan dan tawaran pekerjaan tersebut.

“Kalau boleh, saya mahu adik dan ayah rapat kembali. Saya difahamkan dia telah mendapat dua tawaran kerja sebelum dan sedang dalam pertimbangan untuk membuat keputusan.

“Adik tak rasa ayah dia sanggup buat macam itu sebab dia tahu ayah macam mana. Ayah pun sudah sedar, mungkin dia rasa bersalah dan sebagai adik-beradik, kami ingin tarik balik kes ini,” katanya.

Kosmo! kelmarin melaporkan, seorang bapa bertindak kejam apabila tergamak menghentak kepala anak perempuannya dengan tukul pemecah dinding hanya kerana mangsa dikatakan masih belum mendapat kerja dalam kejadian di Parit Sungai Melan, Kuala Kurau. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini