LANGKAWI 8 Mac – Kanak-kanak perempuan, Nur Aisyah Aleya Abdullah, 3, yang mayatnya dibuang di Gunung Raya, di sini, dipercayai dipukul oleh suspek menggunakan penyangkut baju.
Ketua Polis daerah, Superintenden Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan itu selepas merampas dua unit penyangkut baju tersebut di Kuarters Hospital Langkawi, hari ini.
“Kita membawa semula kedua-dua suspek ke tempat kejadian pagi ini dan merampas dua penyangkut baju yang dipercayai ada kaitan dengan unsur penderaan terhadap mangsa.
“Peralatan itu turut akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis pada Isnin bersama-sama sampel lain, manakala pencarian di Gunung Raya tidak membawa apa-apa penemuan baharu setakat ini,” katanya di sini hari ini.
Polis meneruskan operasi mencari bahan bukti di kediaman suspek dan di lokasi mayat Nur Aisyah Aleya dibuang selepas menemukan dua batang gigi dan dua gumpalan rambut di Gunung Raya, semalam.
Dua suspek iaitu pasangan suami isteri berusia 37 dan 40 tahun yang dipercayai terlibat dalam kejadian itu kini direman selama seminggu sehingga 14 Mac ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. -UTUSAN ONLINE











