KUALA LUMPUR 8 Mac – Program Mentor-Menti yang dilancarkan oleh Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) akan mewujudkan satu suasana harmoni dalam kalangan kakitangannya.
MDHS dalam satu kenyataan memaklumkan, inisiatif pihaknya melancarkan Program Pementoran 2019 bertujuan menyemarakkan lagi proses pembelajaran di dalam organisasi dan mengukuhkan lagi kompetensi kakitangan.
“Pementoran adalah selaras dengan pelaksanaan Pekeliling Perkhidmatan Awam Bilangan 18 tahun 2005 yang menekankan elemen bimbingan, khidmat nasihat dan sokongan.
“Melalui program ini, aplikasi psikologi dalam intervensi turut diberi penekanan bagi mempertingkatkan kecemerlangan pegawai yang baharu dilantik atau dinaikkan pangkat,” katanya.
Katanya, sebanyak enam mentor dan 12 menti yang dilantik pada tahun ini terdiri daripada pelbagai gred dan skim perkhidmatan telah menerima surat pelantikan yang diserahkan oleh Yang Dipertua MHDS, Shukri Mohamad Hamin.
Jelasnya, program ini juga akan dapat meningkatkan persefahaman dan komunikasi sesama kakitangan serta membentuk perancangan kerjaya dan meningkatkan keyakinan diri kepada menti. – UTUSAN ONLINE











