KUALA LUMPUR 8 Mac. – Tiga lelaki yang mencetuskan kontroversi dan kemarahan umat Islam di negara ini dengan melakukan penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW dan agama di media sosial didakwa atas 11 petuduhan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Chow Mun Fan, 43, dan Danny Antoni, 28, masing-masing mengaku tidak bersalah atas 10 pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Hasbullah Adam.
Sementara Mohamad Yazid Kong Abdullah, 52, pula mengaku bersalah atas pertuduhan yang dikemukakan.
Bagaimanapun, Hasbullah menetapkan Isnin ini bagi pendengaran fakta kes serta jatuh hukum terhadap penganggur itu.
Bagi kesemua kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan serta 505 (c) Kanun Keseksaan yang membawa penjara yang boleh sampai dua tahun.
Selain itu, mereka turut didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama.
Pendakwaan yang dikemukan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Asyraf Md. Kamal dan Mohd. Sophian Zakaria manakala Mun Fan serta Mohamad Yazid Kong diwakili peguam bela Mohd. Shafiq Salleh.
Pasukan pendakwaan membantah sebarang bentuk jaminan memandangkan tertuduh
didapati menghina agama, nabi dan anggota keselamatan yang meninggal dunia semasa bertugas.
Hakim kemudiannnya menetapkan 5 April bagi sebutan dua kes membabitkan Mun Fan dan Antoni. – UTUSAN ONLINE











