KUALA LUMPUR 8 Mac – Semua pengguna yang menggunakan peralatan rokok elektronik (e-rokok) atau vape lebih cenderung berdepan dengan masalah jantung.
Pembantu profesor di Sekolah Perubatan Universiti Kansas, Mohinder Vindhyal berkata, berdasarkan kajian di Amerika Syarikat yang dikeluarkan pada Khamis lalu mendapati kadar serangan jantung dalam kalangan mereka yang menggunakan vape adalah sebanyak 34 peratus lebih tinggi berbanding mereka yang tidak menggunakan bahan itu.
Menurutnya, kajian tersebut juga mendapati sebanyak 25 peratus dalam kalangan pengguna vape berdepan dengan penyakit arteri koronari manakala 55 peratus pula berkemungkinan mengalami kemurungan atau kecemasan.
“Sehingga kini, sedikit data yang diperoleh adalah mengenai kejadian kardiovaskular berbanding penggunaan rokok elektronik dan data ini merupakan peringatan untuk menyedarkan semua pengguna vape akan risiko tersebut.
“Walau bagaimanapun kajian tersebut tidak mengenal pasti hubungan sebab dan kesan terhadap pengguna menerusi pemerhatian ini,” katanya yang dipetik menerusi portal Free Malaysia Today di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











