PENDANG 8 Mac – Lelaki yang disyaki dilanggar dengan kereta sehingga mati oleh adiknya di Kampung Haji Bunga, Mukim Air Puteh di sini, semalam, dipercayai mengamuk kerana mendakwa polis hendak menangkapnya.

Anak ketujuh dalam keluarga tersebut, Mohd. Sofil Hakimi Abdul Shukor, 30, berkata, dia sampai ke rumah keluarganya itu dari Pulau Pinang, kira-kira sejam selepas insiden iaitu pada pukul 9.30 malam.
Katanya, dia bergegas ke situ sebaik sahaja menerima pesanan Whatapps berhubung kejadian tersebut daripada adik perempuan bongsunya berusia 20-an.
“Saya dimaklumkan bahawa si mati yang juga anak keempat daripada lapan beradik mengamuk dan membuka kepala tong gas memasak, kerana mendakwa polis hendak menangkapnya.
“Abang keenam (suspek), abang keempat (si mati), adik bongsu (perempuan) dan ibu tinggal di rumah itu bersama-sama,” katanya ketika ditemui di rumah keluarganya itu di sini.
Menurut Mohd. Sofil Hakimi, dia tidak percaya suspek melanggar si mati kerana sebelum ini telah menjaganya bersama seorang anak lelaki berusia 17 tahun dengan baik sejak bercerai dengan isterinya beberapa tahun lalu.
“Kemungkinan kawasan hadapan rumah gelap dan secara tidak sengaja terlanggar semasa hendak bergegas pulang ke rumah,” katanya.
Tambahnya, suspek yang berniaga katering di sebuah sekolah telah berkahwin dan mempunyai dua orang anak, masing-masing berusia dua dan tiga tahun. – UTUSAN ONLINE











