KUALA LUMPUR 8 Mac – Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) mencadangkan agar setiap sekolah membangunkan pelan tindakan kecemasan bagi mengurangkan impak kecederaan dan kemalangan yang bakal berlaku.
Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, pihaknya sedia membantu dalam menyediakan perkhidmatan rundingan dan latihan untuk membangun pelan tersebut bagi menghadapi situasi kecemasan seperti kes pencemaran bahan kimia berdekatan sekolah semalam.
“Sekiranya memang benar terdapat unsur pencemaran bahan kimia yang disebabkan pembuangan oleh pihak tertentu maka ia perlu diselidik, siasat diikuti tindakan undang-undang terhadap pihak yang bertanggungjawab.
“Manakala bagi pihak sekolah, peranan yang boleh dilaksanakan ialah dengan menjayakan program ‘OSH in School’ yang diwujudkan oleh Niosh. Antara elemen yang ada di dalam OSH in school ialah membangunkan pelan tindakan kecemasan.
“Saya harap semua sekolah dapat menubuhkan pelan tindakan kecemasan demi keselamatan dan kesihatan semua pelajar,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











