KUALA LANGAT – Seorang pemandu treler maut selepas kenderaan yang dipandunya terbabas merempuh tiang papan tanda di Kilometer 16.5 Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) sebelum susur masuk Tol Saujana Putra, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi itu, P. Sutakaran, 39, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas tersepit dalam kenderaan berat yang terbalik itu.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Azizan Tukiman berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa yang memandu treler dengan muatan bahan besi binaan dalam perjalanan dari arah selatan.
“Setibanya di lokasi kejadian, treler berkenaan dipercayai hilang kawalan lalu melanggar tiang papan tanda dan terbalik.
“Akibat pelanggaran itu, mangsa tersepit di bawah kenderaan berat dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada beberapa bahagian badan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini.
Azizan berkata, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Banting untuk dibedah siasat.
Beliau menambah kemalangan tersebut turut menyebabkan aliran trafik di lebuh raya berkenaan sesak hampir enam kilometer dan susur masuk ke Plaza Tol Saujana Putra terpaksa ditutup hampir tiga jam untuk kerja-kerja mengalihkan kenderaan berat itu.
“Bagaimanapun, aliran trafik kembali lancar selepas semua kerja-kerja tersebut selesai sepenuhnya kira-kira pukul 12 tengah hari,” ujarnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE











