BUTTERWORTH 8 Mac – Seramai 25 penagih ditahan selepas polis menyerbu beberapa lokasi yang dijadikan sarang dadah di Kampung Ujung Batu; Jalan Assumption; Jalan Bagan Dalam dan Kampung Perlis, di sini semalam.
Kesemua mereka yang berumur antara 20 hingga 65 tahun itu ditahan dalam Ops Tapis Khas yang dijalankan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, ibu pejabat polis daerah Seberang Perai Utara (SPU) bermula pukul 9 pagi hingga 10 malam.
Menurut Ketua Polis SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor, dalam operasi itu, polis turut merampas dadah jenis heroin seberat 33.5 gram dan syabu (3 gram) daripada 11 suspek yang ditahan.
“Dadah yang dirampas ini bernilai kira-kira RM1,800 dan dipercayai untuk kegunaan sendiri.
“Kesemua suspek yang bekerja sebagai buruh dan penganggur ini juga didapati positif dadah jenis MOP dan methamphetamine,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Noorzainy, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 39B; 39A(2); 39A(1); 12(2); 12(2) dan 3(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah berbahaya dan menagih dadah.
Dalam pada itu, tegas beliau, pihaknya akan sentiasa mengambil tindakan serta menjalankan operasi narkotik berterusan dan agresif ke atas kawasan penagih dadah di daerah tersebut.
“Kita juga mengharapkan kerjasama daripada masyarakat untuk membantu polis dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah dan jenayah yang melibatkan pengedar dan penagih di daerah ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE











