KLANG – Guna saluran air panas untuk pindahkan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi.
Itu taktik terbaharu yang terbongkar selepas markas sindiket penyelewengan LPG bersubsidi di sebuah kilang lama di Kawasan Perindustrian Meru di sini diserbu pukul 2.30 petang semalam.
Timbalan Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor, Basharuddin Mohiyuddin berkata, teknik tersebut dipercayai mampu mempercepatkan pemindahan gas beberapa minit lebih cepat dari cara sebelum ini iaitu ais.
“Pemeriksaan di premis itu mendapati sindiket menggunakan saluran air panas yang akan dialirkan di atas tong LPG bagi mempercepatkan proses pemindahan gas dari silinder domestik ke tong industri.
“Modus operandi sindiket pula membeli tong LPG domestik sebelum dikumpul di premis berkenaan untuk dipindahkan ke dalam tong LPG industri,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati sindiket tersebut telah beroperasi sejak enam bulan lalu dengan mengaut keuntungan ribuan ringgit dengan menjual tong LPG industri itu lebih murah berbanding harga pasaran.
Katanya, semasa serbuan dilakukan bersama sepasukan anggota dan pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara mendapati dua ahli sindiket sedang melakukan proses pemindahan gas bersubsidi ke dalam tong gas industri.
“Hasil serbuan itu kita telah merampas 273 tong silinder LPG berkapisiti 14 kilogram (kg) dan 215 tong berkapasiti 50kg iaitu gas untuk industri.
“Selain itu, kita turut merampas dua buah lori tiga tan serta peralatan untuk decanting (pemindahan) seperti alat penimbang, hos getah penyambung, salur paip dan penutup keselamatan silinder LPG.
Jelas beliau, kesemua barangan rampasan termasuk dua buah lori yang disita dianggarkan RM134,981 dan dibawa ke Stor Penyimpanan KPDNHEP Selangor di Shah Alam untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan denda sehingga RM 1 juta atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya. – K! ONLINE











