KUALA LUMPUR – Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya melanggar sebuah kereta yang rosak dalam satu kejadian di Jalan Tun Razak menghala ke ibu negara di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu, mangsa, Mohd. Fadzil Isa, 42, maut di lokasi kejadian akibat impak daripada perlanggaran tersebut.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zukefly Yahya berkata, hasil siasatan awal mendapati kemalangan tersebut terjadi apabila kereta Proton Wira berwarna hitam yang dipandu seorang lelaki warga emas rosak dan berada di lorong kiri jalan tersebut.
“Pada waktu itu, pemandu sedang membuat kawalan dan meletakkan kon segi tiga di bahagian belakang sebagai tanda kecemasan apabila sebuah motosikal jenis Honda EX5 yang dipercayai ditunggang laju oleh mangsa melanggar bahagian belakang kereta itu.
“Akibat perlanggaran tersebut, mangsa mengalami kecederaan dalaman dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Zulkefly, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk tujuan dibedah siasat.
“Kawasan tersebut mempunyai dua lorong yang menghala ke pusat bandar.
“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. – K! ONLINE











