[VIDEO] Adik langgar abang sehingga mati, akibat perselisihan faham - Utusan Malaysia

[VIDEO] Adik langgar abang sehingga mati, akibat perselisihan faham

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENDANG 8 Mac – Akibat perselisihan faham antara dua beradik, seorang adik dipercayai bertindak melanggar abangnya dengan kereta sehingga mati di Kampung Haji Bunga, Mukim Air Puteh di sini malam tadi.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 8.30 malam semasa si mati, Mohamad Zaki Abd. Shukor, 39, adik perempuannya dan ibu mereka berada di tingkat atas rumah dua tingkat tersebut.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Arriz Sham Hamezah berkata, berdasarkan maklumat awal, sebelum insiden berlaku, si mati telah mengamuk meminta wang daripada ibunya sebelum adik bongsu perempuannya berusia 20-an yang ketakutan menghubungi suspek yang merupakan anak keenam.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, ibu mereka kemudian telah menyerahkan wang berjumlah RM50 kepada si mati yang merupakan anam keempat, lalu lelaki itu beredar.

“Tiba-tiba mereka terdengar dentuman kuat di tingkat bawah, di hadapan rumah, dan melihat si mati terbaring di hadapan kereta Proton Saga berwarna putih, disyaki telah dilanggar oleh suspek.

“Berikutan itu, kita telah menahan suspek yang berusia 30-an semasa datang membuat laporan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang selepas kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Arriz Sham, siasatan mendapati si mati mempunyai 12 rekod jenayah berkaitan kes dadah dan samun.

Katanya, polis turut merampas sebilah parang yang dipercayai digunakan si mati dalam kejadian itu.

“Polis telah menahan reman suspek selama tujuh hari bermula hari ini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, walaupun suspek pada awalnya membuat laporan (kejadian) berkaitan kemalangan,” kata beliau.

Sementara itu, anak ketujuh dalam keluarga tersebut, Mohd. Sofil Hakimi, 30, berkata, dia sampai ke rumah dari Pulau Pinang kira-kira sejam selepas kejadian, sebaik sahaja menerima pesanan Whatapps berhubung kejadian itu dari ahli keluarganya.

“Abang keenam (suspek), abang keempat (si mati), adik bongsu (perempuan) dan ibu tinggal di rumah itu bersama-sama.

“Difahamkan sebelum kejadian, abang keempat mengamuk dan membuka kepala paip gas,” katanya.

Dia tidak menolak kemungkinan kejadian itu berpunca daripada kemalangan disebabkan kawasan di hadapan rumah gelap, tetapi menyerahkan kepada polis untuk siasatan lanjut. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini