PUTRAJAYA 8 Mac – Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid dilantik sebagai Ketua Audit Negara yang baharu bagi tempoh dua tahun bermula 23 Februari lalu sehingga 22 Februari 2021.
Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ismail Bakar berkata, pelantikan itu bagi menggantikan Tan Sri Dr. Madinah Mohamad yang telah tamat perkhidmatan pada 22 Februari lalu.
“Berdasarkan Fasal (1) Perkara 105 Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah atas nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja telah memperkenankan pelantikan Nik Azman.
“Nik Azman merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Ekonomi Gunaan Universiti Malaya dan Sarjana Ekonomi daripada Universiti Nebraska di Amerika Syarikat dan mempunyai pengalaman luas dalam ekonomi dan kewangan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Ismail lagi, beliau sebelum ini pernah berkhidmat di Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Unit Perancang Ekonomi (EPU), Bank Dunia Washington, Kementerian Kewangan dan Jabatan Perdana Menteri.
“Kerajaan di samping itu ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Madinah di atas segala usaha bakti beliau sepanjang berkhidmat sebagai Ketua Audit Negara.
“Jasa Madinah khususnya dalam membabitkan usaha mentransformasi dan menstrukturkan semula sistem pengauditan serta mengukuhkan sistem pengurusan kewangan kerajaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











