MILAN 8 Mac – Eusebio Di Francesco dipecat sebagai ketua jurulatih Roma selepas pasukannya tersingkir daripada Liga Juara-Juara, kata kelab itu dan tempatnya akan diambil oleh bekas pengendali Leicester, Claudio Ranieri.
Roma memiliki kelebihan untuk mara ke peringkat suku akhir Liga Juara-Juara selepas menewaskan Porto 2-1 pada aksi pertama kalah mati bagaimanapun mereka tewas 4-3 secara agregat selepas lawan diberikan penalti kontroversi ketika permainan memasuki masa tambahan.
“Roma mengesahkan Eusebio Di Francesco telah meninggalkan kelab ini dengan serta-merta.
“Kelab ingin mengucapkan terima kasih kepada Eusebio di atas usahanya selama ini di Roma dan mengucapkan selamat maju jaya kepadanya di masa depan,” kata kelab itu dalam satu kenyataan.
Mesyuarat tergempar diadakan petang semalam di Rom melibatkan pengurusan tertinggi untuk membincangkan masa depan Di Francesco.
Presiden Roma, Jim Palotta berkata;’Mewakili semua pihak di Roma, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada usaha dan komitmen yang diberikan Eusebio.
“Sejak kembali ke kelab ini, Eusebio bertindak dengan profesional dan meletakkan kelab ini melebihi daripada keperluan dia sendiri. Kami mengucapkan selamat maju jaya kepadanya di masa depan,” katanya.
Bekas bos Sassuolo itu menjadi ketua jurulatih Roma pada Jun 2017. Bekas pemain tengah Roma itu pernah membantu pasukannya menjuarai Serie A ketika bergelar pemain pada 2001.
Jurulatih berusia 49 tahun itu juga membantu Roma layak ke separuh akhir Liga Juara-Juara musim lalu buat kali pertama sejak 1984. – AFP











