Pemuda lepasan ABM maut langgar kerbau - Utusan Malaysia

Pemuda lepasan ABM maut langgar kerbau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 8 Mac – Seorang pemuda maut apabila motosikal ditungganginya melanggar seekor kerbau di Kampung Surau Panjang di sini, malam tadi. 

MUHAMMAD SYAWAL JUSOH
MUHAMMAD SYAWAL JUSOH 

Dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam itu, mangsa, Muhammad Syawal Jusoh, 24, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Mangsa yang masih menganggur selepas menamatkan pengajiannya di  Akademi Binaan Malaysia (ABM) dikatakan keluar semula dari rumahnya sejurus pulang daripada bermain bola sepak di padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Mansor. 

Memuatkan artikel berkaitan…
RAKAN-RAKAN membantu mengangkat jenazah penunggang motosikal, Muhammad Syawal Jusoh,24 mangsa kemala
RAKAN-RAKAN membantu mengangkat jenazah penunggang motosikal, Muhammad Syawal Jusoh,24 mangsa kemalangan maut selepas motosikal ditunggangi terlanggar seekor kerbau di jalan berdekatan tapak projek ECRL dekat Kampung Surau Panjang malam tadi. – UTUSAN ONLINE/ AZLAN BAHRUM

Kejadian dikatakan berlaku ketika mangsa melalui jalan di kawasan berhampiran pejabat tapak projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di kampung berkenaan.

Rakan mangsa, Mohd. Azri Abdullah, 25, berkata, Muhammad Syawal ditemukan seorang pemancing yang berada di kawasan berkenaan selepas terdengar bunyi hentaman kuat.

“Mungkin arwah ke kawasan itu untuk melihat orang memancing dan ketika ditemui dia sudah meninggal dunia.

“Saya dapat tahu pun selepas rakan lain hubungi melalui WhatsApp dan tanpa berlengah terus bergegas ke tempat kejadian,” katanya ketika ditemui di Bilik Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, hari ini.

Sementara itu, ibu mangsa, Zaharah Abdullah, 60, berkata, sebelum kejadian, anak kesembilan daripada 11 beradik itu sempat pulang ke rumah selepas bermain bola sepak. 

“Bagaimanapun dia keluar semula tidak lama kemudian, tak sangka itulah kali terakhir saya melihatnya. 

“Kejadian ini amat mengejutkan, lebih-lebih lagi dia langsung tidak menunjukkan tanda-tanda akan pergi buat selamanya,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini