JEMPOL – Seorang lelaki berusia 48 tahun diberkas selepas polis menemui dua batang pokok ganja ditanam di rumahnya di Kampung Kuala Jempol, Bahau dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Muhd. Nur Hishamuddin Hashim berkata, pokok ganja itu ditemui ditanam dalam polibeg di belakang reban ayam di belakang rumah itu.
“Polis terlebih dahulu menemui satu botol yang diubahsuai sebagai alat menghisap dadah dalam bilik pertama di rumah tersebut.
“Pemeriksaan di belakang rumah pula menjumpai dua tumbuhan disyaki pokok ganja dengan setiap satunya mempunyai ketinggian kira-kira 30 dan 15 sentimeter,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Muhd. Nur Hishamuddin berkata, pihak polis bertindak menahan lelaki tersebut dan merampas kedua-dua pokok ganja serta peralatan menghisap dadah berkenaan yang dianggarkan bernilai RM100.
Kata beliau, siasatan awal polis mendapati lelaki itu pernah ditahan dibawah Seksyen 3 (1) Akta Dadah Berbahaya Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985 serta Seksyen 12 (3) dan 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Tambah beliau, ujian air kencing mendapati lelaki tersebut positif penyalahgunaan dadah dan kes disiasat dibawah Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki tumbuhan disyaki pokok ganja. – K! ONLINE











