KUALA LUMPUR – Penyedia perkhidmatan digital dan komunikasi, Maxis Bhd. berkata, percubaan langsung 5G atau rangkaian mudah alih generasi kelima yang bermula awal minggu ini telah mencatat kelajuan muat turun menghampiri tiga gigabit sesaat (Gbps).
Menerusi kenyataan akhbar yang dikeluarkan semalam, tempoh percubaan selama enam bulan di Cyberjaya itu akan menyediakan analisis mendalam mengenai ciri-ciri 5G termasuk penggunaan spektrum dalam jalur yang lebih tinggi, kewujudan bersama perkhidmatan semasa selain internet mudah alih berkelajuan tinggi dan aplikasi realiti maya (VR) berdefinisi tinggi.
“Sejak beberapa tahun lepas, kami telah menilai teknologi itu dan menjalankan percubaan di makmal ujian.
“Kami sangat teruja dengan potensi 5G pada masa depan sebagai penyelesaian bijak untuk pelanggan dan perniagaan. Kami adalah yang pertama memperkenal 4G dan berbangga untuk melakukannya sekali lagi menerusi 5G,” kata Ketua Pegawai Teknologi Maxis, Morten Bangsgaard.
Beliau berkata, Maxis telah menaik taraf rangkaian pengangkutannya untuk menyokong kelajuan gigabit dan pada masa sama menzahirkan elemen rangkaian terasnya supaya kapasiti permintaan bagi teknologi itu lebih fleksibel dan berskala.
Maxis dan Huawei melancarkan program lonjakan 5G menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman di Barcelona, Sepanyol baru-baru ini dan kedua-dua pihak akan bekerjasama melaksanakan percubaan 5G sepenuhnya dengan sistem serta perkhidmatan serba lengkap.
Kemudahan 5G dijangka memberikan kelajuan sehingga 10 kali ganda lebih pantas berbanding rangkaian 4G untuk menyokong aplikasi VR berdefinisi tinggi dan pandangan 360 darjah. – Bernama











