PARIS 8 Mac – Neymar akan diterbangkan ke Qatar untuk melengkapkan siri pemulihan terhadap masalah keretakan kaki kanan, lapor Paris Saint-Germain (PSG), hari ini.
Penyerang kebangsaan Brazil itu dilihat turut menyaksikan kekalahan PSG di peringkat 16 akhir kedua Liga Juara-Juara dari tempat duduk di Parc des Princes, selepas tewas 1-3 kepada Manchester United.
“Neymar akan terbang ke Aspetar (klinik sukan) di Qatar tiga hari lagi sebagai melengkapkan pelan pemulihannya.
“Dia perlu melengkapkan siri pemulihan ini yang mengambil masa selama enam minggu daripada kecederaannya. Dia akan ditemani oleh pasukan perubatan dari PSG,” kata PSG menerusi Twitter.
Pemain berusia 27 tahun tersebut mengalami kecederaan tulang metatarsal kelima di kaki kanannya ketika PSG menentang Strasbourg dalam saingan Piala Perancis, 23 Januari lalu dan sejak daripada itu dia direhatkan selama 10 minggu.- AFP











