KUALA LUMPUR 8 Mac – Lima remaja perempuan dipercayai melarikan diri dari sebuah rumah kebajikan di Hulu Langat, dekat sini, Ahad lalu.
Remaja berusia antara 15 dan 18 tahun itu tidak pulang ke rumah dan sehingga kini gagal dikesan keluarga masing-masing.
Menurut sumber, kelima-lima remaja yang sedang menjalani rawatan di rumah kebajikan itu disedari hilang oleh penyelia rumah kebajikan berkenaan ketika sedang solat Zohor di pejabat kira-kira pukul 3.30 petang.
“Ketika itu, penyelia terbabit menyedari ada orang masuk ke pejabat dan setelah selesai solat, dia mendapati kunci yang diletakkan di atas meja telah hilang.
“Penyelia itu kemudian keluar dan melihat pagar depan sudah terbuka. Setelah membuat pemeriksaan, didapati lima remaja perempuan telah melarikan diri,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yusoff mengesahkan telah menerima laporan berkaitan kes tersebut dan siasatan lanjut masih dijalankan. – UTUSAN ONLINE











