KUALA LUMPUR 7 Mac – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyelesaikan tunggakan gaji pemain dan pegawai lapan pasukan dalam Liga Malaysia (Liga M) yang keseluruhannya bernilai RM2.5 juta.
Badan bola sepak kebangsaan itu hari ini mengumumkan mereka melangsaikan gaji lima Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Felcra FC, MOF FC, DBKL FC dan Terengganu City FC berjumlah RM1,178,600.
Bayaran dibuat menggunakan wang deposit dan lain-lain yang dipegang FAM.
Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, FAM telah membayar tunggakan gaji tersebut dengan dikreditkan terus ke akaun individu yang terlibat.
Tambahnya, inisiatif yang diambil dengan menggunakan wang deposit dan lain-lain wang yang dipegang oleh FAM adalah sebahagian usaha bagi meringankan beban individu-individu yang terlibat dengan masalah tunggakan gaji ini.
“Tunggakan bagi pasukan PDRM telah pun dikreditkan terus ke akaun individu yang terlibat pada 19 Februari 2019, bagi pasukan Felcra FC, MOF FC dan DBKL FC pada Selasa lalu, 5 Mac 2019 dan bagi pasukan Terengganu City FC pada hari ini.
“Sementara tunggakan gaji pemain dan pegawai bagi tiga lagi pasukan iaitu Felda United, Hanelang FC dan Marcerra United yang berjumlah RM1,339,359.40 sedang dalam proses pembayaran dan dijangka dapat dikreditkan terus ke akaun individu yang terlibat dalam beberapa minggu lagi.
“Ini menjadikan keseluruhan jumlah tunggakan gaji pemain dan pegawai yang berjaya diselesaikan FAM dengan menggunakan wang deposit dan lain-lain wang yang dipegang adalah berjumlah RM2,517,959.40,” katanya menerusi satu kenyataan media di sini, hari ini.
Bagaimanapun, Stuart menegaskan FAM tidak menyelesaikan keseluruhan jumlah tunggakan gaji kerana jumlah tunggakan yang dinyatakan ini adalah berdasarkan jumlah wang deposit dan lain-lain wang yang dipegang oleh FAM ke atas setiap pasukan yang terlibat
“Ia bukan bermakna bahawa keseluruhan tunggakan gaji pemain dan pegawai berkenaan telah pun diselesaikan.
“Baki tunggakan gaji pemain dan pegawai yang masih ada tetap perlu diselesaikan oleh pasukan-pasukan berkenaan,” kata Stuart.











