KUALA LUMPUR 7 Mac – Perlis tiada dalam senarai lapan pasukan yang menerima bantuan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk menyelesaikan isu tunggakan gaji.
Situasi tersebut bagaimanapun tidak mematahkan harapan bekas pemain Singa Utara bahawa nasib mereka juga akan mendapat pembelaan, sekali pun bukan daripada FAM.
Hari ini FAM mengumumkan telah menyelesaikan isu tunggakan gaji pemain dan pegawai lapan pasukan Liga Malaysia (Liga M) iaitu PDRM, Felcra FC, MOF FC, DBKL FC, Felda United, Hanelang

FC serta Marcerra United, yang keseluruhannya berjumlah RM2.5 juta.
“Saya harap benda yang sama akan berlaku kepada Perlis sebab kalau diambil kira pasukan kami sudah ditutup.
“Ramai yang tiada pasukan ketika ini, kami juga ada tanggungan masing-masing dan semua pemain mengharapkan pembelaan,” kata bekas pertahanan Perlis, Amirizdwan Taj Tajuddin kepada Utusan Malaysia.
Bagaimanapun, suka atau tidak, pemain-pemain Perlis perlu menunggu keputusan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) pada 15 Mac ini sama ada pengelola Liga M itu akan memberi geran kepada Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) atau sebaliknya.

Ini kerana, situasi Perlis berbeza dengan kesemua lapan pasukan terlibat kerana duit yang digunakan FAM untuk menyelesaikan tunggakan gaji bukan daripada geran, sebaliknya menggunakan sumber lain seperti deposit pendaftaran serta wang kemenangan.
Duit geran Perlis terletak sepenuhnya di tangan MFL, dan tiada kaitan dengan FAM.
Keputusan sama ada PFA boleh mendapatkannya atau tidak akan diketahui selepas Ahli Lembaga Pengarah pengelola Liga M itu mengadakan mesyuarat minggu depan.
“Inisiatif diambil FAM untuk menggunakan wang deposit dan lain-lain wang yang dipegang oleh Persatuan ini adalah sebahagian usaha bagi meringankan beban individu yang terlibat dengan masalah tunggakan gaji ini.
“FAM turut berharap agar pasukan-pasukan terbabit menghargai usaha yang dilakukan kerana ia telah mengurangkan sebahagian tunggakan yang perlu dijelaskan.
“Mereka juga perlu memiliki rasa tanggungjawab untuk menyelesaikan baki tunggakan kepada pemain dan pegawai yang terlibat ini,” kata Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam dalam satu kenyataan akhbar hari ini.











