KUALA LUMPUR 7 Mac – Mohd. Ifwat Akmal Chek Kassim berjaya memastikan gawangnya tidak dibolosi dalam empat daripada lima perlawanan Liga Super musim ini, sekali gus meletakkan dia sebagai penjaga gol terbaik ketika ini.
Bagaimanapun, penjaga gol muda Kedah berusia 22 tahun itu menegaskan, dia belum teruji sepenuhnya kerana liga masih terlalu awal.
Menentang Pahang dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur, Kuantan esok bakal menghadirkan ujian terbesar buat pemain kebangsaan itu.
Pintu gol Ifwat hanya dibolosi sekali ketika beraksi di tempat lawan musim ini iaitu menentang Perak bulan lalu, dan bertemu Pahang esok, dia berharap kecemerlangannya dapat diteruskan.
“Mahu atau tidak, kami kena menang lawan Pahang esok dan jika kami tidak boleh mendapatkan tiga mata, satu mata sudah memadai.
“Penting untuk kami mencipta kemenangan ke atas Pahang sebab kami perlu merapatkan kedudukan mata dengan pendahulu Liga Super, JDT (Johor Darul Ta’zim).
“Perlawanan terakhir kami seri dan saya rasa rugi sebab kami hilang dua mata.
“Tambahan pula kami bermain di tempat sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Kedah kini berada di kedudukan ketiga di bawah Pahang.
Walaupun kedua-dua pasukan berkongsi 11 mata namun Tok Gajah memiliki perbezaan jaringan.
Ifwat sedar bukan mudah untuk membawa pulang tiga mata memandangkan mereka beraksi di tempat lawan, malah ada beberapa pemain Tok Gajah perlu dirantai dengan rapi.
“Pahang ada ramai pemain berkualiti di bahagian serangan jadi kami perlu memberi fokus 120 peratus,” katanya.











