PORTO 7 Mac – Alex Telles menyempurnakan sepakan penalti hasil bantuan VAR (video bantuan pengadil) ketika permainan masuk ke masa tambahan, yang berkesudahan Porto menewaskan Roma 3-1 untuk mara ke suku akhir Liga Juara-Juara, hari ini.
Francisco Soares meletakkan Porto di depan pada minit ke-26, tetapi Daniele De Rossi menyumbat gol penyamaan menerusi sepakan penalti sebelum rehat babak pertama selepas Eder Militao menjatuhkan Diego Perotti.
Moussa Marega kembali meletakkan tuan rumah di depan pada separuh masa kedua, yang sekali gus menjadikan kedua-dua pasukan terikat 3-3 menerusi kiraan agregat.

Kedudukan seri, telah memaksa perlawanan diheret sehingga ke masa tambahan dan kekasaran Alessandro Florenzi ke atas Fernando yang dikesan menerusi VAR membuka laluan kepada sepakan penalti Telles pada minit ke-117, bagi menjadikan agregat 4-3.
“Bukan saya seorang yang menjaringkan gol menerusi penalti, tetapi keseluruhan pasukan. The Dragao, seluruh stadium telah membantu saya tenang. Ia satu aliran tenaga yang cukup bagus,” kata Telles.
Sementara itu, kapten Roma, De Rossi akur dengan kekalahan pasukannya kepada Porto.
“Kami perlu terima kekalahan ini, walaupun ia memeritkan,” katanya. – AFP











