‘Kemenangan menakjubkan’ - Utusan Malaysia

‘Kemenangan menakjubkan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS 7 Mac – Ole Gunner Solskjaer menghamburkan pujian kepada pemain Manchester United yang tidak mengenal erti putus asa apabila mara ke suku akhir Liga Juara-Juara selepas mencatat kemenangan bersejarah 3-1 ke atas Paris Saint-Germain, hari ini.

United menjadi pasukan pertama dalam sejarah Liga Juara-Juara bangkit daripada ketinggalan 0-2 dalam timbal balik pertama di laman sendiri.

Romelu Lukaku meledakkan dua gol dengan jaringan tunggal tuan rumah dihasilkan oleh Juan Bernat sebelum Marcus Rashford menyempurnakan penalti kontroversi menerusi penentuan video bantuan pengadil (VAR) yang sekali gus membantu United mara dengan kelebihan gol di tempat lawan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Lebih manis lagi kejayaan United hadir meskipun ketiadaan Paul Pogba yang digantung perlawanan serta sembilan bintang termasuk Anthony Martial, Jesse Lingard dan Ander Herrera yang ditimpa kecederaan.

Bagaimanapun, pengurus sementara Solskjaer berkata, dia tidak pernah ragu dengan barisan pemain yang dimilikinya dalam usaha mereka untuk melepasi pusingan kalah mati di Paris.

“Kepercayaan perlu diberikan kepada pemain dan itu sahaja harapan kami. Menakjubkan. Kemungkinan untuk kami melepasi peringkat ini sentiasa anda. Inilah apa yang kami lakukan bersama kelab. Ini Manchester United. Ini Liga Juara-Juara. Ia berlaku seperti apa yang kami mahukan,” kata Solskjaer.

Terpaksa berdepan dengan keputusan defisit pada timbal balik pertama, Solskjaer mengakui, United amat memerlukan jaringan Lukaku pada minit kedua, bagi mengembalikan momentum pasukannya. Sebaik United membuka tirai jaringan, Solskjaer mula berasakan PSG kembali dihantui kegagalan lalu, antaranya sewaktu mendahului selesa 4-0 menentang Barcelona, dua tahun lalu. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini