KUALA LUMPUR 7 Mac – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan menggalas tugas sebagai Ketua Pembangkang dalam sidang Dewan Rakyat, Penggal Kedua Parlimen Ke-14 yang bermula pada 11 Mac ini.
Beliau mengambil alih tugas tersebut daripada Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang sedang berehat daripada memegang peranan sebagai Presiden UMNO.
Jawatan Ketua Whip Pembangkang yang sebelum ini dipegang Ismail Sabri pula akan digalas seorang lagi Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden parti, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pelantikan Ketua Pembangkang yang baharu itu telah dimaklumkan kepada Ahmad Zahid serta pemimpin-pemimpin pembangkang yang lain.
“Berkenaan reaksi Ahmad Zahid, Alhamdulillah semuanya baik. Pemimpin Pas turut dimaklumkan mengenai perkara ini.
“Kita telah memanggil semua ahli Barisan Nasional (BN) sebelum membuat keputusan berkenaan Ketua Pembangkang ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas selesai Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO di Menara Dato’ Onn di sini hari ini.
Yang turut hadir ialah Ismail Sabri; Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa; Ketua Penerangan, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah; Ketua Pemuda, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki; Ketua Wanita, Datuk Dr. Noraini Ahmad dan Ketua Puteri, Datuk Zahida Zarik Khan.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai pelantikan sebagai Ketua Pembangkang yang baharu, Ismail Sabri memberitahu tanggungjawab tersebut akan menjadi satu pengalaman baharu buat dirinya.
Kata Ismail Sabri, beliau akan memainkan peranan untuk mengkordinasi isu-isu yang akan dibangkitkan dalam Dewan Rakyat sepanjang persidangan berlangsung nanti.
“Sebenarnya dari segi tanggungjawab, Ketua Whip lebih mencabar ķerana pastikan wakil pembangkang hadir ke persidangan dan menyusun siapa perlu berucap. Apa-apa pun saya akan bincangkan peranan baharu saya ini,” katanya.











