KUALA LUMPUR 7 Mac – Cadangan Kerajaan Negeri Kedah untuk membina lebuh raya Perak-Kedah tanpa melalui Pulau Pinang perlu direalisasikan untuk memastikan pembangunan secara adil.
Presiden Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan), Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir berkata, usaha itu juga dilihat mampu mengurangkan kadar pengangguran di kawasan pedalaman di samping meningkatkan akses pengangkutan darat membabitkan tiga negeri iaitu Kedah, Perak dan Kelantan.
Selain cadangan pembinaan lebuh raya berkenaan, beliau berkata, usaha itu secara tidak

langsung akan memberi impak besar kepada sosio-ekonomi penduduk di pedalaman terutama di Baling.
“Saya tertarik mengenai rancangan Kerajaan Negeri Kedah dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar untuk mengatasi kemiskinan dan membangunkan daerah Baling dan pada saya kerajaan perlu bersungguh-sungguh menghidupkan semula projek tersebut dan dilaksanakan secepat mungkin.
“Di samping cadangan lebuh raya ini, Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri juga membuat keputusan lain bagi maksud yang sama iaitu mengatasi kemiskinan serta pengangguran di kawasan tersebut dengan memberi tumpuan kepada membangunkan Taman Industri di Kuala Ketil dan Kupang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Isnin lalu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berhasrat untuk melaksanakan pembinaan lebuh raya menghubungkan negeri itu dan Perak yang dijangka memberi impak besar terhadap sosio-ekonomi penduduk di kawasan tersebut.
Dalam pada itu, Abdul Kadir berkata, kerajaan juga disarankan untuk mewujudkan satu lagi kawasan industri iaitu Taman Industri Memali bagi mengatasi masalah kemiskinan di beberapa daerah iaitu di Baling dan Sik.
“Oleh itu di samping taman-taman industri di Kuala Ketil dan Kupang yang dicadangkan, saya ingin juga cadangkan satu lagi kawasan industri iaitu Taman Industri Memali (di kawasan Memali yang terkenal dengan ‘Peristiwa Memali’).
“Taman Industri ini boleh dibangunkan sebagai kawasan industri biasa atau sebagai taman industri hybrid iaitu bersama industri kecil dan sederhana (IKS) memandangkan kawasan ini mempunyai persempadanan dengan daerah Sik dan Thailand,” ujarnya.











