FILEM All the President’s Men (1976) arahan Alan J. Pakula dan The Post (2017) arahan Steven Spielberg berlatarkan kewartawanan era 1970-an di akhbar The Washington Post.
Kedua-dua filem ini perlu ditonton oleh sesiapa saja untuk memahami dunia kewartawanan antara etika, konspirasi dan sisi gelap yang tidak pernah didedahkan.
Selain sisi estetika dan wacana sosiopolitik, kedua-dua filem ini menghubungkan saya dengan masa silam ketika mula menyertai Utusan Melayu 35 tahun lalu. Saya menonton berulang kali sambil menoleh masa silam yang tertinggal di pejabat editorial Utusan Melayu awal 1980-an.
Tatarias pengadegan (mise en scene) yang dibina dalam kedua-dua filem ini menunjukkan pejabat editorial The Washington Post tahun 1970-an tidak jauh bezanya dengan Utusan Melayu ketika saya mula bertatih di dalamnya.
Deringan telefon dan membertihnya bunyi mesin taip pada waktu puncak di pejabat editorial menjadi tanda masa zaman persuratkhabaran dekad 1950-an hingga 1980-an. Inilah zaman di mana surat khabar diterbitkan secara manual – daripada membuat berita hingga mencetak.
Bagaimanapun semua ini hanya tersimpan dalam bingkai kenangan mereka yang pernah melalui zamannya. Mesin taip sudah menjadi barang antik yang diletakkan di bucu ruang tamu, bukan di pejabat editorial.
Pada kemuncak era digital dan teknologi pengkomputeran dua dekad alaf baharu telah mengubah cara dan budaya kerja para wartawan. Malah pengertian ‘media’ yang dulunya hanya surat khabar, radio dan televisyen kini lebih kepada portal yang menyiarkan teks, audio dan visual pada masa sebenar (real time).
Medium untuk mengakses berita bukan lagi surat khabar tetapi perkakas elektronik seperti telefon tangan atau iPad. Generasi muda seperti sudah terputus hubungan dengan surat khabar apabila berlakunya digitalisasi media secara besar-besaran.
Kepada generasi lama, surat khabar adalah nostalgia yang melengkapkan waktu bersarapan. Surat khabar perlu bertungkus-lumus untuk menjadikan laporan berita selepas 12 jam kejadian berlaku masih relevan, segar dan tidak basi. Cabaran ini bukan mudah untuk ditangani ketika selera dan gaya hidup para warga berubah dengan mendadak pada perkakas elektronik.
Pada masa sama, persaingan mendapatkan berita terkini berlaku pada setiap minit di media dalam talian. Kalau pada era suratkhabar, makna ‘berita basi’ ialah dua hari selepas kejadian. Sehari selepas kejadian, barulah berita sampai kepada masyarakat.
Tetapi pada era digital, makna kecemerlangan ialah kepantasan dan ketepatan. Pengertian ‘wartawan’ pada era ini bukan sahaja mampu menulis berita tetapi mengambil gambar dan merakam video malah membuat laporan lintas langsung dari tempat kejadian.
Cara ini dipopularkan oleh wartawan CNN Peter Arnnet yang membuat siaran langsung Perang Teluk awal 1990-an di Baghdad. Tetapi teknologi yang digunakan Arnnet semasa Perang Teluk kini sudah ketinggalan zaman.
Bagaimanapun, semua yang diperkatakan di atas hanyalah perubahan teknologi daripada konvensional kepada digital.
Yang berubah adalah cara dan budaya kerja untuk disesuaikan dengan kepantasan yang ditawarkan oleh teknologi. Tetapi etika kewartawanan tetap sama sampai bila-bila.
Teknologi tidak pernah mengubah kod etika yang menekankan ketepatan, kebenaran dan keadilan.
Maka sewajarnya wartawan era mesin taip dan digital hanya dipisahkan oleh teknologi, bukan prinsip dan etika.
Ini kerana tanda aras seorang wartawan bukan pada alat yang digunakan tetapi sejauh mana prinsip dan etika dilestarikan oleh teknologi. Maknanya yang penting ialah manusia di sebalik teknologi itu.











