KUALA LUMPUR 7 Mac – Pemain muda, Amir Nazrin Jailani kembali menghidupkan saingan negara dalam Kejohanan Golf PGM Johor ADT apabila mencatat lima bawah par 67 untuk terikat di tangga kedua selepas pusingan kedua hari ini.
Pemain berusia 21 tahun itu ketinggalan tiga pukulan daripada pendahulu, Lloyd Jefferson Go dari Filipina, yang mengumpul 132 pukulan selepas melakarkan catatan sama enam bawah par 66 pada dua pusingan berturut-turut.
Pada saingan di Palm Resort Golf (amp) Country Club di Senai, Johor, Amir, yang menghuni tempat ke-18 dengan enam bawah par 68 semalam, bagaimanapun memperbaiki persembahan dengan mencatatkan enam birdie dan satu bogey untuk berkongsi tempat kedua bersama pemain Amerika Syarikat, Trevor Simsby.
Dalam pada itu, beberapa lagi pemain gagal menghabiskan saingan berikutan keadaan cuaca hujan dan akan melengkapkan pusingan kedua bermula jam 7.40 pagi esok sebelum pusingan ketiga bermula kira-kira dua jam selepas itu.
Kejohanan diiktiraf bersama Jelajah Pembangunan Asia (ADT) dan Persatuan Profesional Malaysia (PGM) itu menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan RM225,000. – BERNAMA
Pendahulu Pusingan Kedua:
132 – Lloyd Jefferson Go (PHI) 66-66;
135 – Amir Nazrin (MAS) 68 67, Trevor Simsby (USA) 68-67;
136 – Danny Chia (MAS) 67-69;
137 – Kazuki Higa (JPN) 68-69, Janne Kaske (FIN) 71-66, Choo Tze Huang (SGP) 67-70;
138 – R. Nachimuthu (MAS) 69-69, Miguel Carballo (ARG) 70-68;
140 – Daeng Abdul Rahman Abdul Aziz (MAS) 68-72, Teemu Putkonen (FIN) 71-69, Sydney Chung (USA) 69-71.











