JAKARTA 7 Mac – Pasukan Kempen Nasional (TKN) Joko Widodo (Jokowi)-Ma’ruf Amin membuat laporan polis berhubung penularan dua video palsu dan satu rakaman audio yang bertujuan memburukkan imej Jokowi sebagai calon pilihan raya Presiden (capres) negara ini.
Lapor Republika.co.id, satu daripada video tersebut turut menyebut pendidikan agama Islam akan dihapuskan sekiranya Jokowi menang dalam pilihan raya tersebut.
Pengarah Undang-Undang dan Khidmat Guam TKN, Ade Irfan Pulungan berkata, ketiga-tiga rakaman tersebut berunsur fitnah dan sengaja ingin mencetuskan jenayah kebencian.
“Video pertama mengandungi perbualan dua orang lelaki yang mendakwa Jokowi menggunakan kemudahan negara untuk kegiatan kempennya, manakala video kedua pula menyaksikan seorang wanita menyatakan pendidikan agama Islam bakal dihapuskan jika Jokowi terpilih.
“Kesemua rakaman tersebut menyebarkan fitnah yang sangat teruk dan tidak masuk akal,” katanya, semalam.
Dalam pada itu Ade menjelaskan, rakaman audio itu pula mengandungi suara yang mendakwa Jokowi adalah rakyat China yang akan ‘menyusup’ pilihan raya Presiden 2019 (Pilpres).
Tambah beliau, TKN tidak akan melaporkan mengenai ketiga-tiga rakaman tersebut ke Badan Pengawasan Pemilihan Umum (Bawaslu) kerana beranggapan tidak melanggar etika pilihan raya.
“Sehubungan itu, kami terus membuat laporan polis kerana fitnah yang ditaburkan itu merupakan jenayah kebencian,” ujarnya. – AGENSI











