KUALA LUMPUR 7 Mac – Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp) akan menyediakan perkhidmatan bas perantara dari Stesen Kwasa Sentral melalui Kampung Selamat dan Sungai Buloh pada hujung minggu ini berikutan penutupan tiga stesen Laluan Sungai Buloh – Kajang (SBK).
Ketua Pegawai Operasi MRT SBK, Azmi Mohd. Zain berkata, tiga stesen yang terlibat adalah stesen MRT Sungai Buloh, Kampung Selamat dan Kwasa Damansara.
Belia berkata, pihaknya terpaksa menutup stesen berkenaan bagi memberi laluan kerja-kerja pembinaan sesimpang untuk ke landasan depoh Sungai Buloh.
“Pihak kami akan menutup stesen berkenaan bagi tempoh dua hari bermula Sabtu ini. Bagaimanapun, bas perantaraan dengan kekerapan waktu operasinya antara tujuh hingga 10 minit akan disediakan.
“Bagi memudahkan pengguna, pihak kami akan menyediakan sebanyak sepuluh buah bas yang mampu menampung 1,000 penumpang dalam masa sejam ,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Tambah Azmi, perkhidmatan tren MRT SBK dari Kajang akan tamat di Kwasa Sentral dan seterusnya kembali semula ke Kajang sepanjang tempoh penutupan stesen-stesen yang terjejas.
“Pada hujung minggu, pengguna yang masuk ke stesen Sungai Buloh seramai 3,000 orang.
“Jadi sepuluh buah bas pengantara yang disediakan itu mencukupi untuk keperluan pengguna,” katanya.











