JOHOR BAHRU 7 Mac – Tiga mangsa yang terhidup sisa kimia dipercayai gas metana kini kritikal dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini.
Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Selahuddeen Abd Aziz berkata, selain itu dua lagi masih menerima rawatan di unit kecemasan hosital berkenaan sehingga kini.
“Secara keseluruhan terdapat 35 mangsa yang terlibat dengan 26 orang dirujuk ke HSI untuk rawatan lanjut manakala selebihnya mendapat rawatan sebagai pesakit luar dibenarkan pulang.
“Mereka yang dirujuk ke HSI terdiri daripada 16 pelajar sekolah dan 10 orang dewasa. Daripada jumlah itu 21 dimasukkan ke wad, tiga dimasukkan ke ICU,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini sebentar tadi.
Terdahulu, seramai 1,600 pelajar dan guru dari Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Putih dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Putih di sini diarahkan pulang ke rumah selepas seorang pelajar didapati pengsan manakala beberapa yang lain muntah-muntah.
Kejadian tersebut berpunca daripada Sungai Kim Kim berhampiran dua sekolah tersebut dicemari gas metana yang dibuang dari sebuah lori pada malam semalam.
Pada awalnya seramai 30 mangsa berusia antara tujuh hingga 40 tahun 21 dirawat di HSI, enam dirawat di Klinik Kesihatan Pasir Gudang dan tiga ditempatkan di Klinik Kesihatan Penawar.
Sungai berkenaan terletak kira-kira 500 meter dari kedua-dua sekolah berkenaan yang bersebelahan dan hanya kira-kira 200 meter dari rumah penduduk di Taman Pasir Putih.
Beliau berkata, pada masa ini keadaan semua mangsa stabil dan antara mangsa yang dirujuk ke HSI termasuk empat kakitangan hospital tersebut dan seorang kakitangan klinik kesihatan.
Dalam pada itu katanya, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Johor akan terus bekerjasama dengan semua agensi yang terlibat dalam memastikan kesihatan dan keselamatan penduduk terjaga.
Antara tindakan proaktif yang diambil ujarnya, adalah dengan mengeluarkan amaran berjaga-jaga untuk klinik kesihatan, klinik swasta, hospital kerajaan dan hospital swasta.
“Amaran berjaga-jaga atau alert itu bagi melaporkan kes yang mempunyai gejala pedih mata, sakit dada dan sesak nafas disyaki terhidu serta terdedah dengan bahan kimia tersebut.
“Pemantauan akan diteruskan sehingga tiada kes yang dilaporkan. JKN menasihatkan orang awam untuk mengelakkan diri daripada memasuki dan berada di kawasan kejadian,” katanya. – UTUSAN ONLINE











