Kementerian Pendidikan nafi dakwaan Kosppem - Utusan Malaysia

Kementerian Pendidikan nafi dakwaan Kosppem

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 7 Mac – Kementerian Pendidikan menafikan dakwaan Persatuan Kontraktor-Kontraktor Bumiputera Sisa Pepejal dan Pembersihan (Kosppem) Pahang kononnya 45,000 pekerja pembersihan bangunan dan kawasan sekolah di seluruh negara berhadapan dengan ancaman kehilangan pekerjaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut kementerian itu, dakwaan Kosppem itu tidak berasas sama sekali dan mencetuskan persepsi negatif mengenai Kementerian Pendidikan dalam kalangan rakyat.

“Kementerian Pendidikan dari semasa ke semasa ke semasa akan mengkaji syarat dan kriteria tender bagi memastikan kementerian khususnya pihak sekolah mendapat perkhidmatan terbaik selaras dengan dasar mengoptimumkan sumber kewangan kerajaan ketika ini.

“Sebagaimana pernah diamalkan pada masa lalu, kementerian menambah baik format tender bagi tahun ini dengan mengambil kira keluasan kawasan, bilangan blok bangunan, jumlah aras keseluruhan bangunan dan bilangan kubikal tandas terdapat di setiap sekolah berbanding norma terdahulu yang hanya berdasarkan enrolmen pelajar dan keluasan bangunan.

“Sehubungan itu, kementerian ingin menegaskan penyertaan kontraktor dalam tender-tender adalah mengikut harga yang ditawarkan dengan spesifikasi yang telah ditetapkan dan bukannya bertujuan mengurangkan pekerja-pekerja yang digunakan oleh syarikat yang memperoleh tender kontrak,” jelas kementerian itu menerusi kenyataan hari ini.

Baru-baru ini, Yang Dipertua Kosppem Pahang, Datuk Tengku Abu Nirah Tengku Ahmad mendakwa, kira-kira 45,000 pekerja pembersihan bangunan dan kawasan sekolah diancam hilang pekerjaan jika Kementerian Pendidikan melaksanakan format tender baharu tahun ini.

Kata beliau, format itu perlu dikaji semula bagi mengelakkan lebih ramai rakyat kehilangan pekerjaan.

Dalam pada itu, menurut kementerian, menjadi tanggungjawab majikan iaitu syarikat yang mendapat kontrak perkhidmatan untuk memastikan kebajikan pekerja mereka terus terjamin dan dipelihara.

Jelas kementerian itu, adalah tidak adil untuk menganggap Kementerian Pendidikan bertanggungjawab sepenuhnya ke atas pekerja diambil untuk bekerja oleh syarikat yang menerima tawaran kontrak daripada kementerian memandangkan penyertaan dalam tender adalah mengikut harga ditawarkan.

“Kami sekali lagi ingin menegaskan penawaran kontrak baharu yang akan dibuat dalam masa terdekat bagi perkhidmatan pembersihan adalah berdasarkan kepada skop dan spesifikasi yang telah dipersetujui oleh syarikat yang dilantik dan Kementerian Pendidikan.

“Sebagai sebuah kementerian bertanggungjawab, kami tidak pernah menganiayai mana-mana pihak. Kementerian juga prihatin ke atas kebajikan pekerja terbabit dan oleh itu sekali lagi menasihatkan syarikat yang bakal memperoleh kontrak kerja pembersihan agar turut memastikan kebajikan pekerja masing-masing dijaga,” jelas kenyataan itu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini