Sorok jantina zuriat sulung - Anzalna Nasir - Utusan Malaysia

Sorok jantina zuriat sulung – Anzalna Nasir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENANTI detik menimang cahaya mata sulung, aktres cantik, Anzalna Nasir, 31, akui berdebar biarpun usia kandungannya baru memasuki trimester kedua atau enam bulan.

Mendirikan rumah tangga dengan Hanif Zaki kira-kira tiga tahun lalu, penantian pasangan itu untuk memperoleh zuriat pertama bakal berakhir setelah anak sulung mereka lahir tidak lama lagi.

Pun begitu, ketika ditemui pada majlis pelancaran produk V Sensual Intimate Wash baru-baru ini, Anzalna enggan memberitahu jantina anak mereka kepada umum.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Biarlah bayi ini lahir ke dunia dahulu untuk kita sama-sama ketahui sama ada anak lelaki atau perempuan.

“Sepanjang tempoh enam bulan saya hamil, alhamdulillah tidak mengalami sebarang alahan teruk. 

“Saya juga tidak mengidam makanan pelik. Suami pun sama, dia macam biasa. Senang cerita, kami tidak alami pengalaman yang aneh-aneh seperti yang orang lain alami, Itu satu bentuk kesyukuran juga,” jelas Anzalna. 

Bercerita lanjut tentang pengalamannya sebagai wanita hamil, Anzalna mengakui dia begitu berhati-hati tatkala usia kandungan berada pada trimester pertama.

Tiga bulan disahkan hamil, dia lebih banyak duduk di rumah dan mengurangkan pergerakan kerana bimbang terjadi sesuatu tidak diingini terhadap bayi yang dikandung.

“Setelah memasuki bulan keempat atau trimester kedua, keadaan saya masih sama. Jarang sekali untuk saya keluar ke mana-mana.

“Jujurnya, macam-macam perkara bermain di fikiran. Maklumlah, pertama kali mengandung,” akuinya.

Panel isu kewanitaan

Sempena pelancaran produk V Sensual Intimate Wash, Anzalna adalah antara ahli panel yang dilantik oleh syarikat pengeluar produk tersebut, DD Secrets Sdn. Bhd. untuk berkongsi pengalamannya selaku pengguna.

DD Secrets diasaskan oleh kakak iparnya, Diyanah Zaki yang mendapat khidmat nasihat daripada pengasas produk herba dan kosmetik terkenal, NR atau lebih dikenali sebagai Nona Roguy iaitu Datin Sharifah Anisah Barakbah.

“Dari kecil lagi saya sering didedahkan dengan produk keluaran NR kerana herba-herba yang dikomersialkan oleh syarikat ini amat mujarab untuk digunakan.

“Malah, kami sekeluarga memang selalu menggunakan produk NR. Apatah lagi, kredibiliti pengasasnya telah diakui ramai orang dan banyak pihak
“Sebab itu apabila kakak ipar saya mengatakan dia bakal bekerjasama dengan Datin Sharifah Anisah untuk mengeluarkan produk sendiri, saya teruja menantikannya.

“Sebelum V Sensual  dilancarkan, saya terlebih dahulu menggunakannya untuk mengetahui keberkesanan produk ini walaupun pada awalnya agak risau memandangkan keadaan saya yang hamil.

“Selepas diyakinkan bahawa produk ini selamat digunakan, barulah saya berani gunakannya. Alhamdulillah, memang berkesan untuk mengatasi masalah-masalah yang dihadapi wanita,” katanya memberi ulasan.

Elak kongsi petua

ANZALNA dan suaminya, Hanif Zaki.
ANZALNA dan suaminya, Hanif Zaki. 

Dalam pada itu, sebaik sahaja berita kehamilannya diketahui umum, tak dinafikan ruangan komen dalam media sosial miliknya dihujani dengan ucapan tahniah daripada pengikut dan peminatnya.

Apatah lagi, pelakon Dendam Aurora itu dan suaminya telah berkahwin selama tiga tahun dan baru diberi peluang untuk hamil anak sulung.

Disebabkan itu, Anzalna tak terkecuali menerima komen-komen peminat yang mahu dia berkongsi tip atau petua untuk hamil setelah sekian lama berumah tangga.

“Ya, sejak saya hamil ramai yang bertanyakan petua untuk mendapatkan anak terutama daripada wanita yang sudah lama berkahwin.

“Bagi mengelak terjadinya sebarang salah faham, saya ambil pendekatan untuk tidak menjawab soalan-soalan tersebut kerana khuatir akan menggores hati wanita lain.

“Kalau saya jawab soalan mereka, takut nanti kecil pula hati wanita lain yang masih belum diberikan rezeki untuk menimang cahaya mata.

“Tambahan pula anak saya belum lahir lagi. Masih di dalam perut. Bukan kepakaran saya untuk bercakap lebih-lebih tentang hal ini,” katanya kepada HITS.

Justeru, Anzalna lebih gemar mengesyorkan agar peminat mendapatkan jawapan terhadap persoalan mereka daripada sumber yang dipercayai terutama pakar-pakar perubatan. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini