LONDON – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp menegaskan, perebutan kejuaraan Liga Perdana England (EPL) musim ini masih belum berakhir meskipun Manchester City sudah memintas kedudukan The Reds apabila masing-masing masih berbaki sembilan perlawanan.
City dilihat mampu terus memimpin saingan EPL sekali gus memberikan tekanan kepada Liverpool untuk memintas kembali memandangkan The Citizens bakal menggunakan kelebihan menentang Watford di Stadium Etihad esok manakala The Reds berdepan Burnley di Anfield.
Liverpool tergelincir di kedudukan kedua liga selepas mencatatkan empat seri dalam enam perlawanan terakhir sekali gus membuka peluang City memintas untuk menerajui takhta liga.
“Kami tetap positif meskipun City telah memintas kedudukan pasukan selepas kami seri ketika bertemu Everton minggu lalu.
“Masih ada banyak perkara yang bakal terjadi selepas ini apabila masing-masing mempunyai sembilan perlawanan untuk diselesaikan dalam kempen kali ini.
“Sememangnya berlaku perubahan pada carta EPL apabila kami ketinggalan satu mata di belakang City yang kembali merampas kedudukan selaku pasukan pendahulu.
“Apa pun, saingan musim ini masih belum berakhir dan pastinya Liverpool tidak mudah menyerah kalah atau memberikan laluan mudah buat City,” kata Klopp. – Agensi











