JOHOR BAHRU 7 Mac – Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah berkenan melawat 19 mangsa yang kini menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini dipercayai akibat terhidu gas kimia di kawasan Taman Pasir Putih, Pasir Gudang semalam.
Keberangkatan tiba Raja Zarith Sofiah pada pukul 5 letang itu disambut Pengarah Kesihatan Johor, Dr. Selahuddeen Abd. Aziz sebelum baginda melawat kesemua mangsa termasuk tiga daripada mereka yang kini berada di Unit Rawatan Rapi (ICU).
Sepanjang lawatan lebih sejam itu, baginda turut diberi penerangan oleh Dr. Selahuddeen mengenai keadaan semasa setiap mangsa selain bertanya khabar terhadap mereka serta ahli keluarga.
Dalam kejadian itu, seramai 16 pelajar dari Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pasir Putih dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Pasir Putih, selain seorang kakitangan Jabatan Alam Sekitar, pemandu ambulans dari Klinik Kesihatan Pasir Gudang serta pekerja kantin SMK Taman Pasir Putih.
Kesemua mereka dimasukkan ke HSI selepas mengadu sesak nafas dan muntah akibat terhidu gas kimia, dalam kejadian yang dilaporkan berlaku pada awal pagi tadi. – UTUSAN ONLINE











