KUALA LUMPUR 7 Mac – Ketua jurulatih UiTM FC, Ismail Zakaria mahu menutup saingan Liga Perdana yang bakal berehat selama 14 hari dengan kemenangan menjelang aksi bertemu Kelantan di Stadium UiTM Shah Alam, malam esok.
Jelasnya, sekira pengalaman menjadi ukuran, Ismail mengakui pasukan lawannya lebih berpengalaman berbanding anak buahnya namun dia berharap momentum kemenangan ke atas Pulau Pinang minggu lalu dapat diteruskan.
Selain itu, dia turut berharap UiTM mampu menamatkan kemarau kemenangan di laman sendiri selepas tewas sebelum ini kepada Perlis 0-3 dan Johor Darul Ta’zim II (JDT II) 1-2.
“Kita tidak boleh memandang mudah cabaran Kelantan kerana mereka merupakan pasukan yang lebih berpengalaman berbanding UiTM. Mereka memiliki teknikal yang baik tetapi mungkin belum menemui rentak permainan sebenar.
“Pemain kini memiliki keyakinan tinggi selepas menang ke atas Pulau Pinang dan saya harap mementum itu dapat diteruskan.
“Liga akan berehat 14 hari dan saya harap kita mampu berehat dalam keadaan tenang dengan meraih kemenangan, selain mahu melakar kemenangan pertama di laman sendiri,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Selepas mengharungi lima perlawanan, UiTM kini berada di tangga keempat liga dengan tiga menang dan dua kalah.
Bagaimanapun, ekoran keputusan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menyingkirkan Perlis daripada saingan liga sekali gus menyaksikan kekalahan mereka kepada pasukan Singa Utara itu dibatalkan. – UTUSAN ONLINE











