ALOR SETAR 7 Mac – Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dianggap tidak layak menjawat jawatan sebagai seorang Menteri Kabinet yang mewakili rakyat pelbagai kaum di negara ini, apabila mengeluarkan kenyataan bersifat perkauman dalam isu kerjasama UMNO dan Pas, semalam.
Perkara itu dinyatakan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar, Syed. Mohd. Johan Rizal Syed Unan Mashri dalam satu kenyataan dan laporan polis bersama oleh sayap parti UMNO itu, Pas, MCA, MIC serta beberapa buah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di daerah ini.
Laporan yang dibuat di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar di sini, kira-kira pukul 5 petang itu diketuai oleh Syed Mohd. Johan Rizal.
Syed Mohd. Johan Rizal berkata, kenyataan Guan Eng bahawa kerjasama UMNO dan Pas sebagai pengisytiharan perang terhadap bukan Islam tidak menggambarkan kewibawaan beliau selaku anggota Kabinet.
“Justeru, kami mendesak Guan Eng segera melepaskan jawatan kerana kerosakan telah berlaku. Tiada maaf lagi kerana rakyat kini sudah lali dengan isu perkauman yang terus dimainkan kebelakangan ini.
“Pada masa yang sama, kami mendesak polis segera mengambil tindakan terhadap Guan Eng di bawah Akta Hasutan 1948 dan Kanun Keseksaan yang bersesuaian,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan berkenaan.
Yang hadir sama Timbalan Dewan Pemuda Pas Alor Setar, Muhammad Aminur Shafiq Mohamad Abduh; Ketua Pemuda MCA Bahagian Alor Setar, Phee Kuan Joo; Pengerusi Kelab Ketuanan Melayu Kawasan Alor Setar, Ahmad Shukkri Yaacob dan wakil Pertubuhan Jaringan Anak Melayu Kuala Rimau, Syed Alif Iskandhar.
Dalam pada itu, Mohd. Aminur Shafiq berkata, kenyataan Guan Eng bahawa kerjasama UMNO dan Pas sebagai pengisytiharan perang terhadap bukan Islam merupakan pemahaman yang sempit.
Kuan Joo pula berkata, beliau bimbang sekiranya ada pihak bukan Melayu yang terpengaruh dengan kenyataan Guan Eng itu ia boleh menjejaskan keharmonian kaum di negara ini.
Semalam Guan Eng menyifatkan kerjasama UMNO-Pas itu sebagai perang ke atas bukan Islam sehingga mengundang kecaman warganet. – UTUSAN ONLINE











