KUALA LUMPUR – Penglibatan wanita pada peringkat kepimpinan dan pembuat dasar di Malaysia masih rendah meskipun ia memperlihatkan peningkatan berbanding sebelum ini, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Wan Azizah berkata, beliau yakin statistik itu dapat ditambah jika syarikat tersenarai awam komited memainkan peranan lebih penting untuk mencapai sasaran 30 peratus yang ditetapkan.
Pada tahun 2018, seramai 1,010 ataupun 15.7 peratus daripada jumlah 6,245 kerusi anggota lembaga pengarah di semua syarikat tersenarai awam diisi oleh wanita.
Manakala dalam 100 syarikat tersenarai awam teratas, penyertaan wanita sebagai anggota lembaga pengarah telah meningkat kepada 24.4 peratus pada tahun 2018 berbanding 19.27 peratus pada 2017.
“Jika dilihat pada pencapaian terkini, sememangnya ia masih jauh daripada sasaran yang ditetapkan oleh kerajaan agar 30 peratus pengisian anggota lembaga pengarah di syarikat tersenarai awam adalah dalam kalangan wanita,” katanya kepada Bernama sempena sambutan Hari Wanita Sedunia esok. – Bernama











