JOHOR BAHRU – Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah berkenan melawat 19 mangsa yang kini sedang menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI) dipercayai akibat terhidu gas kimia di kawasan Taman Pasir Putih, Pasir Gudang.
Keberangkatan tiba Raja Zarith Sofiah pada pukul 5 letang itu disambut Pengarah Kesihatan Johor, Dr. Selahuddeen Abd Aziz sebelum baginda melawat kesemua mangsa-mangsa termasuk tiga daripada mereka yang kini berada di Unit Rawatan Rapi (ICU).
Sepanjang lawatan lebih sejam itu, baginda Tuanku Permaisuri turut diberi penerangan oleh Selahuddeen mengenai keadaan semasa setiap mangsa selain baginda turut bertanya khabar terhadap mereka serta ahli keluarga.
Dalam kejadian itu, seramai 16 pelajar dari Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pasir Putih dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Pasir Putih, selain seorang kakitangan Jabatan Alam Sekitar, pemandu ambulans dari Klinik Kesihatan Pasir Gudang serta pekerja kantin SMK Taman Pasir Putih.
Kesemua mereka dimasukkan ke HSI selepas mengadu sesak nafas dan muntah akibat terhidu gas kimia, dalam kejadian yang dilaporkan berlaku pada awal pagi tadi.
Terdahulu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri Johor, Datuk Yahaya Madis berkata, siasatan awal mendapati sisa buangan industri itu dipercayai bahan kimia jenis metana.
“Kita mendapat maklumat awal bahawa bahan kimia ini dibuang di kawasan pembinaan sebuah jambatan di Sungai Kim Kim, Taman Pasir Putih, Pasir Gudang.
“Tindakan tidak bertanggungjawab individu yang membuang bahan kimia ini ke dalam sungai telah menyebabkan pencemaran air selain pencemaran udara,” katanya.
Jelas Yahaya, bahan kimia ini kemudiannya meruap mengeluarkan bau sebelum merebak ke kawasan sekitar sehingga menjejaskan dua buah sekolah serta penduduk sekitar.
Sehingga ini, seramai 21 mangsa dikejarkan ke HSI, manakala enam dirawat di Klinik Kesihatan Pasir Gudang serta tiga mangsa ditempatkan di Hospital Penawar. – K! ONLINE











