BALIK PULAU – Sebuah kereta disyaki milik seorang pesara guru yang dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu ditemui di kawasan hutan di Jalan Bukit Penara, Kampung Titi Serong di sini hari ini.
Difahamkan kereta jenis Perodua Kancil itu ditemui kira-kira pukul 1 petang oleh penduduk kampung.
Bagaimanapun, warga emas itu, Yahaya Mohamed, 80, tidak ditemui.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, pihaknya menerima maklumat berhubung seorang lelaki yang dilaporkan hilang dan dipercayai telah masuk ke dalam hutan berdasarkan kenderaan yang ditinggalkan di pinggir hutan.
“Anggota bomba kemudiannya segera membuat kerja-kerja mencari dan menyelamat di kawasan itu,” katanya sebentar tadi.
Difahamkan, setakat petang ini mangsa belum ditemui.
Kosmo! Online pada Isnin lalu melaporkan seorang pesara guru, Yahaya Mohamed, 80, dikhuatiri hilang selepas keluar bersendirian dari rumahnya di Hilir Sungai Burung di sini pada Sabtu dengan menaiki kereta Perodua Kancil.
Dia yang mempunyai masalah ingatan itu dikatakan mahu pergi ke rumah kenalannya bernama Kak Teh di Kampung Terang di sini sebelum dilaporkan tidak pulang. – K! ONLINE











