JOHOR BAHRU – Jumlah pesakit yang menerima rawatan di hospital dan klinik kesihatan sekitar sini yang dipercayai akibat terhidu gas kimia berikutan pembuangan sisa kimia di Sungai Kimkim, dekat Pasir Gudang awal pagi ini, meningkat kepada 30 orang setakat pukul 5.00 petang ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor, Dr. Sahruddin Jamal berkata, daripada jumlah itu, 21 dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI), enam ke Klinik Kesihatan Pasir Gudang manakala tiga lagi dirawat di Hospital Penawar dan kesemua mereka dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
“Dua mangsa di HSI diberi bantuan pernafasan untuk mencegah kejadian yang lebih buruk kerana apabila terkena bahan kimia, saluran pernafasan boleh tersumbat,” katanya.
Beliau berkata, sampel pencemaran di sungai berkenaan telah pun diambil pihak HAZMAT Bomba dan JAS negeri pagi tadi untuk dianalisa.
Ketika ditanya sama ada pihaknya sudah mengenalpasti mereka yang bertanggungjawab membuang sisa kimia itu, beliau berkata individu atau pihak yang berkenaan masih belum dikenalpasti. – Bernama











