KUALA LUMPUR 7 Mac – Pemilik akaun Twitter menggunakan nama ‘Alvin Chow’ dan pemilik akaun Facebook bernama Danny A’antonio ditahan reman selama empat hari sehingga Ahad kerana menghina agama Islam, Nabi Muhammad SAW dan isteri baginda, Saidatina Aisyah ditahan reman selama empat hari sehingga Ahad.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, siasatan bagi kedua-dua kes tersebut kini dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
“Sebarang maklumat lanjut berhubung siasatan ke atas suspek akan dikeluarkan oleh pihak Bukit Aman,” katanya ketika dihubungi Utusan Online, di sini hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan kedua-dua suspek berusia 43 dan 28 tahun tersebut ditahan di Plaza Pudu dan Seri Kembangan, semalam.
Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan atas alasan agama, menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci-membenci atau niat jahat atau memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian. – UTUSAN ONLINE











