KUALA LUMPUR 7 Mac – Sebanyak 15 pendatang tanpa izin (PATI) termasuk enam gadis pelayan (GR0) ditahan dalam serbuan di sebuah premis hiburan di Bandar Puchong Jaya, Serdang dekat sini awal pagi tadi.
Dalam serbuan kira-kira pukul 1.50 pagi itu, kesemua suspek berusia 21 hingga 26 tahun tersebut ditahan oleh sepasukan anggota dan pegawai dari Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu pejabat Kontinjen Selangor.
Pegawai Operasi D7 Selangor, Asisten Superintenden Rozam Effandy Raslee berkata, hasil siasatan mendapati premis yang beroperasi sejak tiga bulan lalu itu tidak mempunyai lesen hiburan yang sah.
Menurutnya, malah, premis itu menawarkan GRO bagi menjadi peneman untuk pelanggan berkaraoke.
“Ketika serbuan, kita turut menemukan sembilan paket dipercayai mengandungi serbuk ekstasi serta sembilan botol cecair mengandungi sebatian dadah yang sama.
“Kesemua tangkapan melibatkan wanita Vietnam dan Indonesia manakala sembilan lagi pekerja lelaki adalah warga Bangladesh, Pakistan dan Rohingya. Selain itu, seorang lelaki tempatan iaitu penjaga premis turut ditahan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurut Rozam berkata, polis turut merampas dua unit pembesar suara, televisyen, mikrofon, pemain cakera video digital (DVD), selain peralatan yang digunakan untuk karaoke serta wang tunai RM2,629.
Katanya, kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang untuk siasatan dan tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 39(b) dan Seksyen 6(1)(c) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Seksyen 6(1) Enakman Hiburan Dan Tempat-Tempat Hiburan (EHTTH) 1995 serta Seksyen 12(2) Akta Dadah berbahaya 1952,” katanya. – UTUSAN ONLINE











