PUTRAJAYA – Seorang lelaki bergelar Tan Sri yang disiasat bagi membantu siasatan berhubung projek pembangunan sebidang tanah dimiliki Kuil Sri Mahamariamman Devasthanam di Jalan Bandar, Kuala Lumpur tiba di Mahkamah Majistret Putrajaya pada pukul 9.10 pagi hari ini.
Tiba sama di kompleks mahkamah itu ialah dua suspek dipercayai anak lelaki Tan Sri itu dan seorang kontraktor yang turut direman bagi kes berkenaan.
Ketiga-tiga individu tersebut tiba dengan memakai baju lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan tangan bergari.
Sementara itu, suspek bergelar Tan Sri itu dibawa masuk ke dalam kamar mahkamah dengan menaiki kerusi roda.
Mereka sebelum ini direman selama tiga hari bermula Selasa lalu selepas dipercayai mempunyai kaitan dengan urusan kesepakatan tanah yang disiasat suruhanjaya itu.
Difahamkan, ketiga-tiga individu yang berumur antara 45 hingga 75 tahun itu bertanggungjawab menguruskan sebuah kuil Hindu di Batu Caves, Selangor.
Kosmo! Online sebelum ini melaporkan SPRM menahan tiga individu berkenaan bagi membantu siasatan berhubung pembangunan sebidang tanah dimiliki kuil Sri Mahamariamman Devasthanam di Jalan Bandar, Kuala Lumpur.
Ketiga-tiga suspek direman selepas pasukan penyiasat SPRM membuat serbuan di kediaman suspek di Kota Damansara pada hari Isnin lalu.
Dalam serbuan pada pukul 7.45 malam itu, SPRM dilaporkan merampas wang tunai lebih RM1 juta, beberapa barangan kemas dan jam berjenama yang jumlahnya tidak dipastikan. – K! ONLINE











