Seminggu dua ini isu industri minyak kelapa sawit kembali ‘meletus’, halnya tentang cadangan alternatif tanaman lain bagi membantu pengusaha mendepani krisis harga komoditi tersebut.
Pun begitu bukanlah hal tersebut yang ingin dibincangkan sebaliknya seperti mana yang kita ketahui, Malaysia dibidas banyak negara-negara maju perihal minyak kelapa sawit berkaitan alam sekitar.
Kesatuan Eropah (EU) contohnya telah lama menyerang industri minyak kelapa sawit negara kerana mereka menyakini Malaysia tidak peduli akan kelestarian alam dalam usaha mengembangkan sektor tersebut.
Mereka menuduh Malaysia membuka kawasan hutan sehingga tiada apa lagi yang tinggal semata-mata untuk mengembangkan kawasan tanaman kelapa sawit.
EU juga pernah mendakwa Malaysia mengabaikan habitat Orang Utan dengan menyatakan bahawa pihak yang terlibat dengan industri kelapa sawit merupakan ‘syarikat besar yang membakar hutan’, kerajaan telah menafikan tuduhan-tuduhan tersebut dengan pantas.
Berkali-kali kepimpinan negara sama ada yang terdahulu mahupun sekarang menyatakan komitmen bahawa negara tidak pernah mengabaikan liputan kawasan hijau yang kini masih dikekalkan sekitar 52 peratus, namun sejauh mana komitmen berkenaan benar-benar dipertahankan?
Dilema dalam usaha mengekalkan liputan kawasan hijau terutamanya kawasan hutan pada masa yang sama perlu mengembangkan kawasan pertanian dan pembangunan sebagai usaha memajukan negara terus menghantui Malaysia.
Bahkan pembukaan kawasan hutan yang dibenarkan bagi memberi laluan kepada pembangunan infrastruktur dan kemudahan untuk rakyat juga sering kali menjadi isu.
Contohnya pembersihan hutan di Perak untuk tujuan perladangan, pembalakan yang tidak terancang di Kelantan dan pembinaan lebuh raya di Selangor yang merentasi hutan simpan serta pembinaan kondominium di kawasan yang telah digazet seperti Taman Rimba Kiara di Kuala Lumpur.
Ia berterusan menjadi bahan bualan mereka yang mengambil berat akan perihal alam sekitar. Aktiviti penerokaan kawasan hutan untuk pelbagai tujuan sememangnya masih berlaku.
Malah statistik yang dikeluarkan Laporan Tahunan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia mendapati keluasan kawasan hutan yang diteroka untuk dijadikan ladang pada 2008 adalah sekitar 108,512 hektar dan pada 2013. Kawasan tersebut kini meningkat kepada 324,417 hektar.
Jumlah itu bersamaan 6.6 peratus kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK), dan ia menunjukkan terdapat lonjakan hampir 200 peratus dalam tempoh hanya lima tahun.
Statistik yang sama juga menunjukkan terdapat peningkatan ketara berlaku dari tahun 2012 ke 2013 iaitu daripada 197,829 hektar kepada 324,417 hektar menunjukkan ada kawasan HSK yang dibangunkan untuk tujuan perladangan.
Jika aktiviti penerokaan kawasan HSK untuk tujuan pembangunan negara sama ada sebagai kawasan pertanian mahupun infrastruktur penting tidak diperhalusi, Malaysia akan terus menerima kecaman dari negara-negara luar.
Kerajaan perlu tegas dalam hal tersebut, jika tiada keperluan yang mendesak untuk membuka kawasan HSK adalah lebih baik dihentikan sahaja aktiviti tersebut.
Suatu ketika dahulu, kawasan tanah terbiar untuk tujuan pertanian dikatakan mencecah nilai RM7 bilion, tidak diusahakan atas pelbagai masalah selain pernah menjadi isu.
Mungkin kerajaan hari ini boleh menilai semula kawasan-kawasan tersebut sebagai alternatif untuk mengembangkan industri pertanian tanpa perlu mengganggu kawasan HSK.
Menerusi cara itu, kerajaan juga dapat menangkis serangan-serangan EU yang menggunakan isu penerokaan hutan sebagai senjata mereka dengan lebih tuntas.
Pada masa yang sama litupan kawasan hijau khususnya kawasan hutan semula jadi kekal dilindungi untuk generasi akan datang.











